ENJIN CARIAN BAHAN

Rabu, 9 April 2008

TEMA 2 : PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN ( STPM 1998 )

1. Huraikan sejarah perkembangan Islam di Madinah, dan jelaskan bagaimana Nabi Muhammad s.a.w menyatukan pelbagai golongan masyarakat yang berada di kota Tersebut.

A. PENDAHULUAN
.

Madinah adalah sebuah negara kota di Hijzah yang dikenali dengan nama Yathrib sebelum penghijrahan Rasulullah s.a.w. Kota ini terletak di antara Yaman di Selatan dan Syam di Utara, di kawasan oasis yang subur. Jaraknya lebih kurang 200 batu di sebelah utara Kota Makkah.

Penduduk Madinah terdiri daripada beberapa suku kaum Arab dan bukan Arab. Penduduk utama di kota ini adalah suku Arab, Aus dan Khazraj yang tinggal di bahagian selatan. Antara suku kaum bukan Arab iaitu Yahudi yang terdiri daripada bani Quraizah, Banid Nadhir, bani Qainuqa dan lain – lain lagi yang menduduki di sebelah utara Kota ini.

B. SEJARAH PERKEMBANGAN ISLAM DI MADINAH.

1. Pertentangan antara Aus dan Khazraj telah membawa kepada perang Bu’ath yang telah mengorbankan jiwa yang banyak. Kedua – dua suku kaum ini sangat memerlukan kepada seseorang tokoh yang berwibawa untuk menyelesaikan masalah perselisihan antara mereka. Perbalahan ini telah melemahkan kuasa politik mereka dan ekonomi mereka di Madinah.

2. Pertelagahan antara Kaum Arab ini telah diambil kesempatan oleh orang – orang Yahudi untuk menguasai politik dan ekonomi mereka.

3. Penduduk Madinah lebih berminat kepada agama monoteisme dari penduduk Makkah. Kebangkitan Nabi akhir zaman telah diramalkan oleh pendeta – pendeta Yahudi sebagaimana yang tercatat di dalam kitab – kitab mereka. Mereka berkeyakinan bahawa Nabi itu akan dilahirkan di kalangan bangsa mereka, tetapi ramalan mereka tidak tepat. Nabi akhir zaman telah dibangkitkan dari keturunan Arab, iaitu nabi Muhammad s.a.w.

4. Pada mulanya, suku Aus dan Khazraj telah pergi ke Makkah untuk mencari jalan menyelesaikan pertelagahan tradisi antara sesama mereka. Tetapi setelah wakil kedua – dua pihak bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w di Makkah dan telah melahirkan Persetiaan Aqabah I ( 621 M ) dan persetiaan Aqabah II ( 622 M ) tujuan asalnya mereka telah berubah.

5. Persetiaan Aqabah II telah membuka jalan kepada penghijrahan Rasulullah s.a.w dan umat Islam sebagai rasul, pemimpin, tokoh perpaduan dan ketua tentera dan negara di negara – negara kota Madinah.

C. Langkah Menyatukan Pelbagai Golongan masyarakat

1. Penyatuan penduduk Islam Madinah telah dilakukan oleh nabi Muhammad s.a.w seperti berikut:

1.1 Penyatuan antara golongan Ansar ( penduduk Madinah ) dan Muhajirin ( pendatang Makkah ) adalah diasaskan kepada keimanan, ketaqwaan dan persaudaraan tanpa melihat kepada keturunan, bangsa dan warna kulit. Dasar ini telah menyedarkan kaum Aus dan Khazraj dari meneruskan sikap permusuhan sekian lama mereka. Rasulullah s.a.w juga menjelaskan bahawa semua jenis persengketaan dan perselisihan adalah terhapus setelah mereka menganut Islam. Tiada sesiapa pun sesudah itu boleh menuntut bela atau menuntut hutang.

1.2 Untuk menyelesaikan masalah sosial dan ekonomi orang – orang Muhajirin, Rasulullah s.a.w telah mempersaudarakan orang – orang Muhajirin dengan orang – orang Ansar seperti mempersaudarakan Hamzah bin Abdul Mutalib dengan Zaid bin Harith, Umar bin Al – Khatab dengan Itban bin Malik, Abdul Rahman bin auf dengan Sa’ad al – Rabi’ dan lain – lain lagi. Perhubungan kekeluargaan antara orang Muhajirin dengan Ansar juga dilakukan tanpa mempunyai implikasi persaudaraan nisab ( keturunan ) termasuk hak pusaka, tolong – menolong dan lain – lain.

1.3 Masalah sosial dan ekonomi orang – orang Muhajirin telah diselesaikan kerana orang – orang Ansar yang menolong mereka telah dididik sehingga memiliki keimanan yang kukuh, ketakwaan yang ikhlas dan konsep persaudaraan yang harmoni dan mereka berlumba – lumba menghulurkan sumbangan bantuan kepada orang – orang Muhajirin. Ini termasuk sumbangan yang bersifat wang, makanan, pakaian, ladang pertanian, binatang ternakan, tapak tinggal dan lain – lain lagi.

1.4 Konsep ‘ satu ummah’ sebagai mana tercatat di dalam Piagam Madinah juga telah memperkukuhkan lagi persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin. Peruntukan Piagam Madinah ini telah mewajibkan kepada setiap penduduk Islam supaya bekerja sama dalam menegakkan amal kebaikan dan mencegah kemungkaran, tidak boleh membiarkan saudara seagamanya dibebankan dengan hutang, berperang dan membunuh sesama sendiri dan menegah berpihak kepada orang kafir untuk memusuhi umat Islam.

1.5 Akhirnya orang – orang Muhajirin dan Ansar dapat disatukan dalam satu ‘Ummah’ dalam sebuah negara Islam Madinah dan mereka telah berjaya untuk hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

2. Nabi Muhammad s.a.w telah membuat beberapa langkah yang boleh menjamin keamanan di negara kota itu untuk menghindarkan daripada tindakan jahat orang Yahudi yang boleh mengancam keselamatan umat Islam di Madinah.

2.1 Nabi Muhammad telah memperuntukkan di dalam Piagam Madinah hak – hak golongan Yahudi seperti memberi kebebasan mengamalkan upacara dan ibadat agama mereka, kebebasan di dalam kegiatan ekonomi, sosial, adat istiadat mereka dan mereka pula diminta supaya bersedia untuk mempertahankan keselamatan Madinah dari ancaman musuh. Di sebaliknya, mereka pula meminta jasa bik Nabi Muhammad s.a.w menyelesaikan masalah – masalah yang dihadapi oleh mereka. Di dalam Piagam Madinah setiap penduduknya mempunyai hak yang sama.

2.2 Golongan – golongan Yahudi ini hanya mematuhi Piagam Madinah pada peringkat permulaan sahaja. Selepas itu mereka mengingkarinya, seperti telah dirancang terlebih dahulu kerana tindakan mereka berdasarkan komposisi di dalam golongan Yahudi yang terdiri daripada Bani Qainuqa, bani Nadir dan bani Quraizah.

2.3 Bani Qainuqa telah menghina Piagam Madinah dengan mempersendakan kemenangan Rasulullah s.a.w dan pengikutnya dalam Perang Badar yang berlaku pada tahun ke – 2 Hijrah. Mereka tidak mematuhi amaran Rasulullah s.a.w supaya menjaga kedamaian dan keharmonian di Madinah. Seterusnya mereka bertindak mengganggu maruah wanita secara terang – terangan. Sehubungan itu Rasulullah telah menghalau mereka keluar dari Kota Madinah ke suatu kawasan berhampiran dengan negeri Syam di utara Semenanjung Tanah Arab.

2.4 Bani Nadir telah melakukan dua kesalahan besar. Pertama, mereka telah mengadakan komplot untuk membunuh Rasulullah s.a.w semasa baginda mengadakan rundingan dengan salah seorang ketua mereka. Baginda terselamat dengan turunnya wahyu dari Allah seperti mana yang tersebut dengan turunnya ayat II, Surah Al – Maidah 15 ). Kedua mereka telah menyokong kaum Quraisy Makkah dalam Perang Uhud. Kesalahan – kesalahan ini merupakan pengingkaran terhadap Perlembagaan Madinah. Dengan arahan Rasullah s.a.w kemudiannya, mereka dikepung oleh tentera Islam selama enam hari. Setelah mereka menyerah kalah, mereka bersetuju meninggalkan kota Madinah.

2.5 Bani Quraizah pula juga mengingkari Piagam madinah dengan menimbulkan masalah besar pada masa berlakunya Perang Khandak ( Ahzab ). Huyai bin Ahtab, pemimpin Bani Nadir yang dihalau keluar dari Madinah telah menghasut pemimpin Bani Quraizah iaitu Ka’ab bin Asad sehingga akhirnya bersetuju membatalkan perjanjiannya dengan Rasulullah s.a.w dan seterusnya memihak kepada tentera Quraisy yang sedang mengepung Madinah. Bani Nadhir tidak mengendahkan amaran Rasulullah s.a.w tentang bahayanya pengkhianatan mereka.

2.6 Setelah Perang Khandak ( Ahzab ) dimenangi oleh tentera Islam, umat Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah selama 25 Hari. Akhirnya mereka menyerah kalah dan bersetuju melantik Sa’ad bin Muaz pemimpin suku Auz, membuat pengadilan mereka. Sa’ad bin Muaz telah membuat keputusan bahawa harta mereka dirampas, kanak – kanak, orang – orang Tua dan kaum wanita ditawan. Manakala orang lelaki pula dipancung. Hukuman ini setimpal dengan pengingkaran mereka terhadap perjanjian sebelum ini bersama – sama orang – orang Islam. Masalah yang ditimbulkan oleh orang – orang Yahudi ini akhirnya telah dapat diselesaikan oleh Rasulullah s.a.w ke atas mereka.



C. KESIMPULAN:
Setibanya Rasulullah s.a.w di Madinah dari Makkah, beliau terpaksa menghadapi pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh beberapa golongan penduduk di Madinah yang tidak senang terhadap kedatangannya. Dengan pimpinan dari Allah s.w.t dan dengan sifat seorang pentadbir yang cekap, pendamai yang dihormati, panglima berakhlak luhur dan pemimpin berwibawa baginda telah dapat menyelesaikan semua masalah berkenaan dengan adil. Akhirnya, baginda telah dapat menyatukan pelbagai kaum dan golongan masyarakat yang ditinggalkan di kota Madinah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulillah ..dah jumpa !~ terima kasih cikgu :p

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.