ENJIN CARIAN BAHAN

Ahad, 13 April 2008

TEMA 2 : PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN

1. Khalifah Uthman bin Affan adalah seorang khalifah yang lemah dan tidak berwibawa . Berdasarkan pernyataan tersebut , bincangkan tuduhan dan alasan untuk menyangkal tuduhan tersebut.


Pendahuluan.

Uthman bin Affan bin Abi al- As berasal dari keturunan Bani Umayyah iaitu salah satu cabang keturunan Quraisy. Uthman dilahirkan pada tahun ke-6 dalam Tahun Gajah iaitu selepas lima tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad S.A.W . Beliau ialah salah seorang terawal memeluk Islam dan di gelar ‘ Dzhu al- Nurain(orang yang mempunyai dua cahaya) kerana berkahwin dengan dua puteri Rasulullah iaitu Rugayah dan Ummi Khalthum.
Terpilih sebagai khalifah yang ketiga dan dibai’ah , pada bulan Zulhijjah pada tahun 2311 dan ditabal menjadi khalifah pada bulan Muharam 24H. Khalifah Uthman memerintah selama 12 tahun . Dalam tempoh enam tahun pertama disifatkan zaman keamanan dan kestabilan tetapi enam tahun berikutnya dikenali sebagai zaman kekacauan.
Sewaktu dilantik menjadi khalifah , beliau bersetuju meneruskan dasar pemerintahan Abu Bakar dan Umar tetapi perubahan masyarakat begitu cepat menyebabkan beliau menjadi sasaran tuduhan liar oleh musuh- musuh Islam terhadap Khalifah Uthman yang akhirnya membawa kepada pembunuhan Khalifah Uthman.

Isi

1. Tuduhan

Mengamalkan dasar nepotisme
.
Khalifah Uthman dituduh bersikap nepotisme atau memihak kepada kaum keluarganya dalam pelantikan jawatan – jawatan seperti Gabenor Mesir yang di pegang oleh Amru bin al – As telah digantikan dengan Abdullah bin Sa’d bin Abi Sarah , saudara angkat khalifah Uthman din Affan.

Alasan

Pelantikan pegawai dan gabenor yang dibuat oleh Khalifah Uthman di kalangan keluarganya berdasarkan kebolehan dan kepimpinan mereka . Selain Abdullah , Al – Walid bin Uqbah bin Sa’id bin al – As , Gabenor Kufah , Abdullah Bin Amir , Gabenor Basrah dan Marwan Bin Al – Hakam , setiausaha negara ; mereka ini adalah sepupu Uthman. Khalifah Uthman melantik keluarganya menjadi pegawai kerajaan dan ada juga kewajaran kerana mereka boleh dipercayai. Pada zaman pemerintahan Khulafa al- Rasyidin , kerajaan pusat tidak mengamalkan dasar pemusatan kuasa seperti zaman Bani Umayyah. Banyak perkara pentadbiran diperingkat wilayah diselesaikan oleh gabenor di wilayah tersebut tanpa merujuk kepada khalifah . Tambahan pula usia khalifah Uthman telah lanjut tentulah memerlukan gabenor yang boleh di percayai untuk mengelakkan banyak masalah yang timbul. Sekiranya mereka gagal menunjukkan contoh yang baik atau ciri – ciri kepimpinan yang berkualiti mereka akan dipecat seperti yang berlaku ke atas al – Walid. Seandainya Uthman bersifat taasub kepada kaum keluarganya tentulah beliau menghalang pemecatan al – Walid kerana beliau mempunyai kuasa untuk tujuan tersebut.

2. Tuduhan

Abdullah bin Sa’d bin Abi Sarah
, saudara angkat khalifah Uthman din Affan dituduh sebagai gabenor yang tidak adil kerana memberi keistimewaan kepada pihak tentera, khususnya tentera yang baru berkhidmat di Mesir. Beliau juga dituduh bersikap zalim kerana memaksa penduduk Mesir untuk membayar cukai yang lebih dan tidak membahagikan harta rampasan perang seperti yang dilakukan oleh khalifah- khalifah yang terdahulu, ada juga yang mengungkit sejarah lampau beliau sebagai salah seorang bekas murtad .

Alasan

Tuduhan terhadap Gabenor Mesir iaitu Abdullah bin Sa’d bin Abi Sarah tidak sepatutnya diterima begitu sahaja tanpa mengkaji secara mendalam situasi yang dihadapi oleh beliau ketika itu . Semasa beliau dilantik menjadi gabenor , Mesir menghadapi ancaman tentera laut Byzantine. Untuk menyekat serangan tersebut beliau terpaksa memperkuatkan angkatan tentera laut . Angkatan tentera laut baru dibina pada zaman pemerintahan Uthman . Pembinaan angkatan tentera laut memerlukan perbelanjaan yang besar. Tindakan beliau tidak mengagihkan harta rampasan perang juga mempunyai tujuan yang sama. Tambahan pula kedudukan ekonomi lembab berbanding masa pemerintahan Umar al – Khattab. Khalifah Uthman juga terpaksa mengenakan kadar cukai yang tinggi di kalangan rakyatnya untuk menambah pendapatan negara sekaligus dapat membangun angkatan tentera laut yang memerlukan perbelanjaan yang besar untuk membeli kelengkapan peralatan perang.

3. Tuduhan

Memihak kepada Quraisy dan bekas murtad.

Alasan

Kedudukan Abdullah bin Sa’d bin Abi Sarah sebagai bekas murtad tidak perlu diungkitkan lagi kerana beliau sudah lama bertaubat. Nabi sendiri telah memaafkannya. Pada zaman Abu Bakar kejujuran dan keikhlasan mereka masih diragui tetapi ianya telah hilang pada zaman Umar. Khalifah Uthman melantik ramai di kalangan pegawainya terdiri daripada bekas murtad kerana kebolehan mereka. Misalnya , Asy’ath bin Qais al – Kindi salah seorang ketua kaum murtad yang terdiri daripada suku kaum Kindah , telah dilantik menjadi tentera dan Gabenor Azerbaijan.


4. Tuduhan

Hidup boros dan menggunakan harta Baitul Mal . Khalifah Uthman juga dituduh sebagai khalifah yang boros kerana telah membelanjakan wang yang banyak yang dikatakan diambil dari Baitul Mal. Beliau juga dituduh membelanjakan wang itu untuk diberikan kepada kaum keluarganya. Sebagai contoh beliau memberi kuasa kepada Gabenor Mesir , Abdullah bin Sa’d bin Abi Sarah , menggunakan 1/5 daripada harta rampasan perang di Tripoli . Kesannya , penduduk Mesir marah dan memberontak.

Alasan

Tuduhan Uthman seorang yang boros dan menggunakan harta Baitul Mal adalah palsu kerana beliau terkenal sebagai hartawan dan dermawan. Semenjak zaman Jahilliyah lagi. Pada zaman Rasulullah beliau telah menderma sebanyak 100 unta dan 1000 dinar. Oleh itu, tidak hairan beliau banyak memberi hartanya kepada keluarganya. Beliau juga tidak perlu mengambil wang daripada Baitul Mal kerana beliau seorang yang kaya. Pelantikan beliau sebagai khalifah menyebabkan aktiviti perniagaannya terhenti supaya beliau dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugasnya sebagai seorang khalifah. Oleh kerana beliau tidak mempunyai masa untuk mengurus hartanya beliau telah memberikan harta tersebut kepada kaum keluarganya. Mengenai 1/5 harta rampasan perang yang diberi kepada Abdullah iaitu Gabenor Mesir bukan untuk tujuan peribadi tetapi untuk menampung perbelanjaan tentera laut dan membayar gaji pegawai kerajaan. Tambahan pula, Khalifah mempunyai hak untuk mendapatkan 1/5 daripada harta rampasan perang seperti yang terdapat dalam al – Quran surah al- Anfal bagi kegunaan awam.


5. Tuduhan

Membenarkan sahabat memiliki harta di Iraq . Uthman dituduh memberi tanah dan ladang kepada para sahabat dan ketua – ketua kabilah. Tanah tersebut dikenali sebagai tanah Sawafi iaitu tanah yang tiada bertuan yang dahulunya diuruskan oleh golongan Ahl al- Ayyam. Beliau juga dituduh membenarkan para sahabat nabi berhijrah keluar daripada Hijjaz.

Alasan

Pada zaman Khalifah Umar bin Al- Khatab tanah – tanah Sawafi di tadbir oleh golongan Ahl al – Ayyam iaitu masyarakat Islam yang menyertai ekspedisi ketenteraan di Iraq. Mereka terdiri daripada kaum Muhajirin, Ansar dan bekas murtad. Pada zaman Uthman sahabat – sahabat Rasulullah di beri peluang mendapatkan saham mereka melalui penyertaan mereka dalam ekspedisi tersebut iaitu melalui skim pertukaran tanah yang disediakan oleh khalifah. Melalui skim ini sahabat yang memiliki tanah dibenarkan menukar tanah mereka dengan tanah yang terdapat di Iraq. Misalnya, Talhah Bin Ubaidilah merupakan bekas tentera Iraq telah menukarkan tanahnya di Khaibar dengan tanah Sawafi di Nashstaj di Iraq. Mereka yang terlibat dalam skim ini bukan sahaja terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar tetapi juga bekas murtad seperti Asy‘ath bin Qais. Tambahan pula para sahabat mendapat tanah bukan secara percuma tetapi melalui skim pertukaran tanah. Tindakan Said mengisytiharkan tanah Iraq menjadi kepunyaan kaum Quraisy kerana mengenang jasa dan kedudukan kaum Quraisy yang sentiasa dipandang tinggi oleh oleh masyarakat pada masa itu. Dengan mengendalikan tanah-tanah di Iraq mereka dipandang dan dihormati. Sebelum ini hampir semua pemimpin yang dilantik sama ada dalam tentera atau pegawai kerajaan terdiri daripada kaum Quraisy.


6. Tuduhan

Membakar naskah al – Quran . Khalifah Uthman juga di tuduh mencemar kesucian al – Quran kerana bertindak membakar naskah al – Quran.

Alasan

Untuk mewujudkan sebuah al-Quran yang standard dan seragam, Uthman telah melantik sebuah jawatankuasa bagi mengkaji naskhah al-Quran yang ditulis dan disebarkan. Hasil kajian didapati al-Quran ditulis dalam pelbagai loghat tempatan dan tersebar di wilayah-wilayah Islam. Keadaan ini menyulitkan masyarakat Islam. Uthman memutuskan hanya perlu wujud satu bentuk al-Quran sahaja iaitu mengikut loghat Quraisy yang dikenali sebagai Masyaf Uthmani. Lain-lain al-Quran dibakar untuk menjaga kesucian Islam.


Kesimpulan

- Jika dilihat keseluruhan tuduhan-tuduhan yang dibuat ke atas khalifah Uthman kebanyakannya bertumpu kepada sikap dan tindakannya secara kebetulan berketurunan Bani Umayyah. Setiap tindakan dianggap salah oleh musuh-musuh Bani Umayyah.

- Tuduhan yang serupa juga berlaku terhadap Muawiyah dan pemimpin-pemimpin Bani
Umayyah. Keadaan ini berbeza pada zaman Rasulullah dan Abu Bakar kerana
mereka memandang tinggi dengan menghormati kedudukan dan kebolehan kaum
keluarga Bani Umayyah terutama dalam bidang pertabiran. Terbukti ramai di
kalangan mereka dilantik memegang jawatan penting negara pada kedua-dua
zaman tersebut.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.