ENJIN CARIAN BAHAN

Rabu, 14 November 2007

NOTA TAMADUN DUNIA : TEMA 4

Tema 4: Ekonomi

Kawasan Kajian: Mesopotamia,Mesir, Arab,Graeco-Roman, India, China, Melayu dan Barat

4.1 Konsep dan sistem ekonomi

Kegiatan ekonomi dalam kehidupan manusia di dunia ini telah mula kelihatan pada zaman Mesolitik ( di setengah-setengah tempat) iaitu apabila manusia mula menunjukkan tanda-tanda awal ke arah mengusahakan pertanian. Ini lebih jelas lagi apabila manusia memasuki era Neolitik. Orang-orang Neolitik telah giat dalam bidang pertanian, penternakan malah telah pandai menggunakan alat-alat teknologi seperti penggunakan roda (untuk bergerak) dan bajak dalam pertanian. Zaman ini mengalami kemajuan dalam bidang ekonomi , lebih-lebih lagi apabila manusia telah mula pandai bergiat dalam bidang perdagangan. Selepas zaman Neolitik, manusia bergerak lagi ke tahap pandai membuat dan menggunakan alat-alat daripada gangsa dan besi. Zaman prasejarah akhir inilah dianggap sebagai permulaan kegiatan ekonomi manusia di dunia ini yang nantinya memperlihatkan kemajuan yang pesat pada zaman tamadun awal manusia.

Dalam membicarakan konsep dan sistem ekonomi pada zaman tamadun awal, kita haruslah menyorot tahap-tahap perkembangannya iaitu dari ekonomi sara diri, menuju kepada komersial, perdagangan dan kapitalisme. Konsep sara diri bermaksud ekonomi yang diusahakan itu adalah semata-mata untuk menyara diri dan keluarga sahaja. Apabila manusia memerlukan barang yang tidak ada padanya, berlakulah komersil atau perniagaan yang dimulakan dengan sistem barter/tukar barang. Apabila wang telah dicipta bagi memudahkan urusan perniagaan, sistem barter beransur-ansur ditinggalkan. Apabila penduduk di sesebuah bandar itu semakin ramai, perniagaan semakin banyak dijalankan dan keperluan kepada barang-barang luar berlaku, maka hubungan dengan masyarakat atau negara luar tidak dapat dielakkan lagi. Di sini satu lagi proses ekonomi berkembang iaitu perdagangan. Apabila pedagang menjadi kaya hingga mampu untuk melabur kekayaannya, wujudlah golongan kapitalis.

Tamadun Mesopotamia

Kegiatan ekonomi utama ialah pertanian, perdagangan dan perusahaan. Pada peringkat awal, masyarakat dalam tamadun Mesopotamia mengusahakan tanah untuk kegiatan pertanian (sememangnya Lembah Tigris dan Euphrates amat subur untuk pertanian), mereka menanam gandum dan barli. Di kawasan tanah tinggi mereka nenanam bijirin. Tanaman utama ialah jagung, kurma, sayuran-sayuran (bawang putih, daun salad, bunga bawang, kunyit, ubi sengkuang, lobak, thyne dan lobak putih). Bajak digunakan dalam kerja-kerja pertanian. Tambak dibina untuk mengelakkan banjir.Pada peringkat awal iaitu sebelum mereka mengenal teknologi moden, mereka mengisar menggunakan tangan..Mereka juga menternak kambing biri-biri, lembu, kerbau dan keldai. Keldai digunakan untuk kenderaan. Di samping itu mereka juga menangkap ikan menggunakan kail dan jala. Dari segi perusahaan, Mesopotamia mengusahakan tembikar, pertukangan kayu, membuat patung, membuat alat-alat perhiasan, membina kapal dan pakaian. Kegiatan ekonomi pada peringkat awal hanyalah untuk menyara diri mereka sendiri. Konsep sara diri di sini bermaksud mengusahakan pertanian dan ternakan untuk menyara diri dan keluarga sendiri dan tidak diperdagangkan. Apabila tanah pertanian itu diusahakan secara giat iaitu apabila mereka telah menggunakan bajak, membina tambak dan membuat sistem pengairan, hasil bertambah dan apabila mereka mula membuat perhubungan dengan orang luar dan memerlukan barang yang tidak terdapat di tempat mereka, perdagangan mula dijalankan... Konsep komersil mula mengambil tempat. Barang-barang dagangan dijual kepada orang padang pasir yang berpindah randah. Pada mulanya mereka menggunakan sistem barter (tukar barang) tetapi apabila mereka telah pandai menggunakan wang perak, perdagangan menjadi bertambah pesat dan di sini sistem komersil digantikan dengan perdagangan. Konsep perdagangan merujuk kepada sistem perniagaan yang melibatkan orang luar atau peringkat antara bangsa. Mesopotamia membuat hubungan dagang dengan India,Mesir dan Mediterranean. Barang-barang eksportnya ialah kain, barang kemas dan senjata. Import utama Mesopotamia ialah kayu balak, logam dan batu ( dari Mesir), tembaga (dari Turki dan Parsi), walnut, gam dan emas.

Tamadun Mesir

Kegiatan ekonomi utama ialah pertanian, perdagangan dan perusahaan. Mesir terkenal dengan kegiatan pertanian kerana Lembah Sungai Nil memberikan tanah yang subur dan anugerah Allah yang tidak ternilai memandangkan kawasan sekitarnya yang lain merupakan kawasan padang pasir yang tidak memberikan apa-apa hasil. Pada mulanya penduduk tamadun Sungai nil ini mengusahakan rami, gandum, barli, fleks, sayur-sayuran, kacang, lobak, kurma, menanam pokok pyprus (untuk membuat bot, tali dan sender), ternakan kambing, biri-biri dan lembu hanya untuk sara diri. Lama kelamaan kegiatan ini bertukar menjadi komersil apabila hasil bertambah hingga melebihi keperluan diri dan keluarga. Ini berlaku apabila mereka mula menggunakan teknologi dalam bidang ekonomi ini. Bagi menambahkan hasil, bajak,dan syaduf (alat mengangkut air dari Sungai Nil) digunakan. Terusan bagi mengairi tanaman juga dibina. Perusahaan utama yang dijalankan ialah pembinaan kapal, menguari, membuat bir dari barli dan wain dari anggur, membuat tembikar, gelas dan membuat kain dari rami. Perlombongan tembaga juga diusahakan. Pada mulanya perniagaan dijalankan melalui sistem barter, kemudian berkembang kepada perdagangan hingga ke peringkat antara bangsa menggunakan jalan darat (melalui Sinai) menggunakan sistem kafilah dan jalan laut.. Mesir telah mengeksport gandum, kain linen, tembikar, barang-barang kemas dan mengimport kayu perabut (kayu gergaji), emas, perak,dan gading. Urusan perdagangan dijalankan dengan Babylonia,Syam, Crete (Yunani), Afrika, Asia dan Rom.

Tamadun Arab

Di semenanjung Tanah Arab, pertanian dan perdagangan merupakan kegiatan ekonomi yang utama. Ini dapat dilihat di Yaman (Selatan Arab). Pada zaman sebelum kedatangan Islam lagi, Yaman telah muncul sebagai sebuah negara yang maju dalam pertanian. Tanahnya yang subur ditambah lagi dengan pembinaan Empangan Maarib menjadikan Yaman sebagai pengusaha pertanian yang maju sekali. Berbagai jenis buah-buahan ditanam. Yaman juga ada mengusahakan bidang pertukangan. Yaman telah mengeksport bulu biri-biri, kulit binatang, patung-patung berhala dan buah tamar melalui pelabuhan-pelabuhan Adanah dan Aden ( di Yaman), Ubullah dan Siraf ( di Teluk Parsi) dan Syuaibah (di Laut Merah). Barang-barang importnya terdiri daripada batu permata, garam, emas, sutera ( dari Teluk Parsi) dan rempah (dari Habsyah). Selain dari Yaman, perniagaan juga wujud di Hirah dan Mekah ( Mekah terkenal dengan pasar-pasar Zul Majaz, Ukaz dan al-Majannah). Sebenarnya, pada peringkat awal, ekonomi tanah Arab dipegang oleh orang Yaman. Mereka memasarkan hasil-hasil dari Hadhramaut, Zofar, India dan membawanya ke Syam dan Mesir. Walau bagaimanapun, mulai abad ke-6 M, kedudukan mereka diambilalih oleh orang-orang Hijaz yang menjadikan Mekah sebagai pusat perdagangan yang baru kerana Yaman masa itu telah dijajah oleh Habsyah/Rom dan kemudiannya oleh Parsi menyebabkan perdagangan di laut dikuasai oleh mereka manakala perdagangan di darat berpindah ke tangan orang-orang Mekah. Pedagang-pedagang Hijaz itu menbeli barang-barang dari Yaman dan Habsyah, kemudian dijual di pasar-pasar Syam dan Mesir. Walau bagaimanapun, Mekah juga mempunyai barang-barang dagangannya sendiri seperti berhala yang dijual pada musim haji. Perdagangan Hijaz dijalan kan pada dua musim. Pada musim panas mereka berdagang ke utara seperti ke Syam, manakala pada musim sejuk mereka berdagang ke selatan iaitu ke Yaman.
Perdagangan melalui laut telah membawa orang Arab sampai ke India dan China. Kerajaan-kerajaan Saba’ dan Himyar di Yaman mempunyai armada yang besar untuk membawa barang-barang perniagaan dari India, China, Somali dan Sumatera ke pelabuhan-pelabuhan Yaman. Perniagaan di tempat-tempat tersebut dimonopoli oleh mereka. Barang-barang dagangan yang dibawa balik dengan kapal telah dikumpulkan di Yaman, dibawa ke Hijaz dan ke Syam untuk dipasarkan ke Eropah menggunakan jalan darat (sistem kafilah). Kebijaksanaan orang Yaman berniaga atau menyimpan rahsia perniagaan terbukti dengan sangkaan orang Barat bahawa barang-barang yang didagangkan itu datangnya dari Yaman sendiri. Golongan Badawi yang mendiami kawasan padang pasir (kawasan pedalaman) bergantung hidup kepada hasil ternakan seperti unta, kambing, biri-biri, keldai dan kuda. Bagi yang tinggal berhampiran dengan kawasan subur (wadi) mereka menanam kurma, jagung, delima, zaitun, gandum dan sayur-sayuran. Mereka mengamalkan sistem barter dalam urusan perdagangan. Bagi mendapatkan pakaian dan makanan, mereka menukarkannya dengan binatang ternakan mereka. Dalam keadaan-keadaan tertentu, mereka merompak barang orang lain untuk memenuhi keperluan mereka. Pendek kata ekonomi di kalangan orang Badawi adalah setakat sara diri sahaja. Satu lagi barang dagangan yang menjadi sumber ekonomi Arab ialah penjualan hamba. Hamba ini adalah dari bangsa Arab dan bukan Arab.

Tamadun China

Pada zaman Dinasti Shang (1500-1100SM), jelai dan gandum merupakan bijirin utama di tanam di negara China. Petani juga memelihara lembu, kerbau, kuda, dan kambing. Kemajuan dalam bidang ekonomi di negara China dapat dikesan semasa dinasti Chou dan Han. Tamadun awal China di Lembah Sungai Hwang Ho menampakkan kegiatan pertanian yang pesat. Di situ ditanam dengan sekoi, barli, padi dan gandum. Pada zaman Dinasti Chou, terdapat sistem pengairan dan alatan pertanian yang diperbuat daripada besi. Mereka juga mengusahakan penternakan seperti lembu, Khinzir, kambing dan ulat sutera. Pada mulanya kegiatan ekonomi itu dilakukan sebagai sara diri tapi kemudian menjadi komersil apabila industri tenunan telah wujud. Mereka mengusahakan tekstail dan bulu secara komersil.
Pada zaman Dinasti Chin, sistem timbang dan sukat mula digunakan. Kemajuan dalam sistem pengairan dan penggunaan baja telah menambahkan pengeluaran bijirin seperti beras, gandum, barli dan sekoi. Maharaja Han Wu Ti dari Dinasti Han telah membina tempat menyimpan padi, membuat terusan (yang menghubungkan Sungai Yangtze dengan Sungai Barat), parit dan tambak bagi mengawal banjir. Dinasti Han juga telah membuat dasar memindahkan penduduk untuk membangunkan kawasan yang kurang subur di wilayah-wilayah utara dan sempadan Mongolia. Pada tahun 198SM seramai 100,000 orang terlibat dalam pemindahan ini. Perusahaan yang dijalankan ialah membuat tembikar, barangan ukiran daripada kayu, gangsa dan jed serta menenun tekstil dan bulu.
Pada zaman Dinasti Han, China menjalin hubungan perdagangan dengan India, Mesir, Mesopotamia dan Rom. China mengeksport sutera, tembikar, barang-barang ukiran daripada kayu, gangsa , kulit binatang, kertas dan jed. Barang-barang buatan tangan China mendapat permintaan yang menggalakkan dari luar negeri. Sutera dieksport ke Rom dengan jumlah yang banyak. Selain dari Rom, sutera China juga dieksport ke Asia Tengah, Siberia dan Timur Tengah. Barang-barang importnya pula ialah gading dan kuda baka baik (dari negara-negara tropika), kaca, kain bulu dan linen (dari Asia Barat), alfalfa dan anggur (dari Asia Tengah), mutiara dan karang-karangan (dari Laut Merah). Sebenarnya, China lebih banyak mengeksport dari mengimport, menyebabkan China bertambah kaya.

Tamadun India

Kegiatan ekonomi utama ialah pertanian, perdagangan dan perusahaan. Pada zaman tamadun awal di Lembah Indus, tanaman kapas diusahakan. Kemudian muncul perusahan memintal kapas. Di kawasan Harappa penduduk telah menanam barli, kacang, gandum dan kapas. Mereka juga menternak ayam, kambing, kerbau, unta, gajah , anjing dan khinzir.Roda digunakan sebagai kincir air untuk mengangkut air dari sungai. Empayar Maurya di bawah Chandragupta Maurya telah membenarkan petani-petani menggunakan tanah milik kerajaan untuk kegiatan pertanian dan 1/3 daripada hasil perkapita mestilah diserahkan kepada kerajaan. Beliau juga membina sistem pengairan untuk meningkatkan lagi pengeluaran hasil pertanian. Semasa pemerintahan Asoka, sistem ekonomi diperkemaskan lagi dengan menyuruh golongan Sudra membersihkan tanah baru untuk dijadikan kawasan pertanian.
Perusahaan utamanya ialah menenum kain kapas, pertukangan gangsa, tembaga, emas, perak dan tembikar (tanah liat). Di peringkat antara bangsa, India telah membuat hubungan perdagangan dengan Mesopotamia, Parsi, Saurashtra, Rajasthan, Afghanistan, Tibet,dan Asia Tengah. India telah mengimport kulit siput (dari Saurashtra dan Deccan), gangsa (dari Parsi), perak , firus, dan lapis lazuli (dari Parsi dan Afghanistan) dan batu jed (dari Tibet dan Asia Tengah). Kain tenun merupakan eksport utama tamadun ini di samping alat-alatan daripada gangsa, emas, tembaga, perak dantanah liat. Pada zaman Maurya, perdagangan peringkat antara bangwsa bertambah aktif. Perdagangan melibatkan negara-negara Greek, Ceylon, Timur Tengah, China dan Asia Tenggara. Perdagangan dengan Asia Barat ialah melalui laut. Perlombongan turut diusahakan seperti emas, perak dan tembaga. Di laut mereka mengusahakan kutipan mutiara, berlian dan garam. Orang India Selatan merupakan peniaga yang giat menjalankan perniagaan dengan dunia luar.

Tamadun Greek/Yunani

Greek merupakan sebuah negara yang terletak di kawasan Laut Mediterranean dengan muka bumi yang bergunung ganang. Sebahagian kecil sahaja dari kawasannya boleh diusahakan pertanian. Di dataran-dataran yang sempit mereka mengusahakan tanaman jagung, anggur dan zaitun. Di lereng-lereng gunung mereka menternak kambing dan biri-biri. Menjelang abad ke-4, Athens (Greek) terpaksa mengimport 75 peratus daripada gandum yang digunakannya. Gandum dan ternakan datangnya dari Thrace dan kawasan Laut Hitam. Athens mengimport ikan, daging bergaram,buah-buahan, arak , bahan galian, kain bulu, pakal yang dibuat daripada damar untuk menutup celah-celah papan dan fleks. Dari timur dibawa bahan-bahan mewah dan hamba. Athens pula mengeksport minyak zaitun, perak, batu marmar, bahan buatan dan lukisan. Dengan keadaan muka bumi yang menyempitkan peluang pertanian, orang Athens beralih kepada laut menjadi pedagang. Keadaan berbeza dengan di Sparta. Orang Sparta tidak digalakkan berdagang walaupun buminya subur.dan mempunyai hasil galian bijih besi kerana mereka lebih condong untuk melatih warganya dalam bidang ketenteraan.

Tamadun Rom

Rom mengusahakan bidang pertanian dan perdagangan. Dalam bidang pertanian, iklimnya membolehkan negara ini mengusahakan tanaman gandum, anggur dan zaitun. Akueduk (saliran air) dan empangan telah dibina. Mereka juga menternak biri-biri dan kambing. Dari segi perdagangan, Rom merupakan pusat perdagangan yang penting dan maju terutama ketika di bawah pemerintahan Maharaja Augustus iaitu apabila wang syiling digunakan. Rom menjadi pusat perdagangan antarabangsa yang sibuk, mengimport sutera dan lada putih dari China, mutiara, kosmetik, minyak wangi, batu permata, kulit penyu, rempah ratus, pokok jati, ebony, lada hitam, sutera China dan tekstil dari India . Dari Timur Afrika dibawa gading, emas, bulu binatang, batu ambar, lilin dan hamba pula dibawa dari Rusia dan Jerman. Dati Britain dibawa timah hitam, besi, tiram dan anjing perburuan. Gelas yang tebaik dibawa dari Mesir atau sidon di Phoenicia. Dari Sepanyol kapal-kapalnya membawa logam, emas, perak, bahan pencelop, linen dan minyak zaitun. Afrika Utara menghantar hamba, serbuk emas, batu marmar Afrika, gading dan binatang liar untuk pertunjukan. Asia Kecil dan Syria membekalkan kain bulu, fabrik, permaidani, kain bertekat, barang-barang kulit dan keluli. Industri dijalankan oleh beberapa orang artisan tempatan yang memiliki kedai-kedai sendiri. Rom telah mengeksport wain, gelas, emas dan kain linen .

Tamadun Barat

Di Eropah, pada zaman Pertengahan Awal atau Zaman Gelap (500-1050M) perkembangan ekonominya merosot sekali tapi mulai pulih pada penghujung zaman Pertengahan (1050-1300M). Ketika itu orang gasar telah membuka kawasan baru untuk petempatan dan pertanian. Akibatnya ialah berlaku perubahan dalam bidang ekonomi dengan bertambahnya penduduk, bandar-bandar baru berkembang, perdagangan maju dan wang digunakan dengan meluas menggantikan sistem barter. Pertanian dan ternakan yang diusahakan secara sara diri telah berkembang secara komersial. Kehadiran kuasa Islam di Afrika Utara pula telah meningkatkan perdagangan antara bangsa. Perang Salib yang berlaku di Timur Tengah selama 200 tahun telah membuatkan masyarakat Eropah bersatu. Keadaan ini telah mengukuhkan kedudukan raja dan raja telah memerosotkan kedudukan golongan bangsawan dan gereja Feudalisme sebenarnya telah berkembang secara beransur-ansur pada tahun 900-1300M di Eropah). Pada zaman Pertengahan Lewat ekonomi Eropah merosot kembali. Ketika Eropah mengalami zaman Renaisssance/Zaman Pemulihan (revolusi intelektual berasaskan pemulihan ilmu pengetahuan tamadun purba Yunani dan Rom antara tahun 1350-1550M),perdagangan telah wujud antara Itali Utara dengan pedagang Islam di Iskandariah dan Baghdad. Ini bermakna ketika itu perdagangan antara bangsa telah rancak dijalankan. Selepas gerakan Renaissance, sistem ekonomi kapitalis semakin penting.

Akibat dari gerakan Reformation ( gerakan pembaharuan agama yang berlangsung antara tahun 1517 hingga pertengahan kedua kurun ke-16) yang melanda Eropah , golongan menengah memperolehi banyak harta rampasan tanah gereja. Golongan pedagang yang sebelum itu tertekan dengan undang-undang gereja ( gereja melarang pinjaman wang berdasarkan faedah) kini telah berupaya bergiat dalam perdagangan apabila amalan riba dibenarkan. Apabila pedagang bertambah kaya, muncullah golongan kapitalis ( golongan yang ada modal untuk dilaburkan). Mereka terdiri daripada pemilik kilang, tanah dan lombong. Mereka ingin mendapat keuntungan dari pelaburan mereka di kawasan-kawasan baru. Mereka telah menaja beberapa ekspedisi untuk menjelajah di kawasan luar Eropah. Sehubungan dengan penubuhan negara-negara bangsa, raja-raja bangsa telah mengamalkan suatu dasar ekonomi baru yang dikenali sebagai Mercantilisme. Mercentilisme ialah sistem yang mementingkan kekayaan dan dalam usaha itu ia membawa kepada penguasaan koloni, pembebasan individu daripada kongkongan abstemiouness (kesederhanaan) dan ‘accesticm’ yang mendominasi pemikiran zaman pertengahan. Pada awal zaman Pertengahan (500-1000M) adlah menjadi satu kesalahan mengumpul kekayaan. Dalam ekonomi wang atau kapitalisme (Mercantilisme), pengumpulan wang tidak dapat dielakkan. Perkembangan ini adalah sesuatu yang baru berbanding dengan zaman Pertengahan yang menyeru kepada kesederhanaan. Pemikiran St.Augustine melalui ‘City of God’ mendominasi fikiran masyarakat Eropah untuk satu jangka masa yang lama. Sebaliknya zaman Renaissance telah menyemai ciri-ciri individualisme, humanisme, kritikal yang menghalalkan pengumpulan kekayaan. Raja-raja negara bangsa mula menjadi pelopor perkembangan kapitalisme untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Di bawah dasar ini setiap negara bangsa mula berlumba-lumba untuk mengumpul kekayaan. Kekuatan sesebuah negara ditentukan oleh jumlah emas dan perak yang dikuasai. Pemimpin negara pada zaman ini mempercayai yang kekayaan dapat menjamin politik. Untuk tujuan tersebut, pelayaran-pelayaran ke seberang laut digalakkan oleh raja-raja negara bangsa. Permulaan pelayaran-pelayaran ini telah memulakan sejarah dunia Eropah.

Penemuan-penemuan kawasan baru ini telah memulakan persaingan di kalangan negara bangsa untuk mengukuhkan kedudukan dan supremasi mereka. Ini membawa kepada pengenalan beberapa akta dan undang-undang. Antaranya Akta Perkapalan 1650, ‘Apprentice Act’ 1563, ‘Poor Law’ 1600 dan lain-lain. Kesemuanya bermotif untuk melindungi industri dan perkapalan negara induk daripada persaingan negara-negarajiran. Ini menyebabkan peperangan menjadi satu fenomena biasa pada zaman ini. Penemuan-penemuan geografi ini juga membawa kepada kemerosotan bandar-bandar Itali seperti Venice dan Genoa. Sebaliknya negara-negara di blok Atlantik mula menjadi penting. Antaranya ialah negara Sepanyol. Portugal, England, Perancis dan Belanda. Selari dengan perubahan-perubahan dari segi erbandaran yang berlaku di Eropah, peranan nstitusi bank juga turut berubah. Pada awal zaman Pertengahan,urusan bank adalah secara eksklusif menopoli bandar Itali. Selepas tahun 1500, bangsa Perancis, Inggeris dan Jerman menyertai Itali dalam merebut peranan ini. Pelayaran-pelayaran ke seberang laut ini seterusnya mencetuskan perebutan untuk menguasai tanah jajahan antara negara-negara Eropah untuk membina empayar di merata dunia. Sepanyol mula membina empayarnya di barat, Portugas pula bertindak ke timur. Pada tahun 1494 Pope membuat garisan dalam peta dunia membahagikan tanah-tanah untuk kuasa Portugal dan Sepanyol melalui Perjanjian Tordessillas. Namun begitu cara ini tidak berjaya menyelesaikan perselisihan mereka, sebaliknya permusuhan negara-negara Eropah berlanjutan. Sesungguhnya perubahan-perubahan dalam bidang ekonomi ini telah menyediakan Eropah untuk bergerak ke zaman yang lebih mencabar pada abad-abad seterusnya. Berhubung dengan penjelajahan kuasa-kuasa Eropah ke Asia Tenggara, beberapa faktor telah mendorong mereka berbuat demikian. Antaranya ialah kewujudan zaman Rennaissance di Eropah itu sendiri telah menimbulkan rasa ingin tahu di kalangan bangsa Eropah terhadap dunia luar. Begitu juga dengan kesan Perang Salib iaitu apabila pengaruh tamadun Islam meresapi tamadun Eropah menyebabkan bangsa Eropah bersemangat untuk menjelajah. Penawanan Konstantinople oleh orang-orang Turki pada tahun 1453 telah menyekat perjalanan orang-orang Kristian ke timur telah menimbulkan azam kepada mereka untuk mencari jalan baru dan memecahkan monopoli perdagangan orang-orang Islam dan saudagar Itali.

Tamadun Alam Melayu

Kerajaan-kerajaan awal di Alam Melayu tediri daripada kerajaan agraria (kerajaan ini terletak di kawasan pedalaman dan sungai-sungai utama yang ekonominya berasaskan pertanian) dan kerajaan maritim ( kerajaan yang terletak di pesisiran pantai yang memberi tumpuan kepada perdagangan dan kegiatan yang berkaitan dengan laut).
Kerajaan agraria (seperti Kerajaan Dvaravati di Lembah Sungai Chao Phraya, Kerajaan Funan di Lembah Mekong dan Kerajaan Angkor di Lembah Mekong) menghasilkan hasil pertanian (seperti padi) , hasil hutan (seperti damar, kapur barus, rotan, pencelup) dan perlombngan.Perdagangan dijalankan secara tukar barang.
Kerajaan maritim pula memperolehi barangan dari kerajaan agraria dan kemudiannya menjalankan perdagangan entrepot. Perdagangan antarabangsa dijalankan melalui pelabuhan entrepot seperti pelabuhan Oc-eo di Funan, pelabuhan Ko-ying di Sumatera dan pelabuhan lembah Bujang di Kedah. Barangan yang didagangkan ialah rempah ratus, hasil hutan, cendana, damardan ubat-ubatan. Perdagangan dijalankan secara tukar barang dengan pedagang India, China, Arab dan Eropah.

Kerajaan Kedah Tua menjalankan kegiatan ekonominya melalui pelabuhannya di Lembah Bujang. Pelabuhan ini mengumpulkan barang dagangan tempatan seperti hasil hutan, pertanian dan perlombongan. Kerajaan ini membuat hubungan perdagangan dengan China (barang seramik), Timur Tengah seperti Arab, Parsi (barangan gelas kaca dan manik) dan India.
Kerajaan-kerajaan lain yang menjalankan aktiviti perdagangan ialah Srivijaya, Majapahit dan Melaka apabila kerajaa-kerajaan tersebut menguasai jalan laluan timur-barat iaitu Selat Melaka dan Selat Sunda.

4.2 Pembangunan Ekonomi

Pembangunan ekonomi di sini merujuk kepada prasarana ( perhubungan, pengangkutan, institusi kewangan, gudang, limbungan, kemudahan-kemudahan pelabuhan dan bazar) dan juga sistem kewangan ( cukai, dan perbendaharaan).

Tamadun Mesopotamia

Mesopotamia membuat perhubungan perdagangan dengan kawasan berdekatan menggunakan jalan darat iaitu menggunakan keldai, manakala hubungan dengan negara luar seperti India dan Mesir melalui jalan perhubungan laut. Sejak tamadun awal lagi, Mesopotamia memang terkenal sebagai pencipta roda yang pertama dan membuat kapal layar. Sungai juga merupakan jalan pengangkutan untuk ke utara. Dalam urusan perniagaan, mata wang syiling tidak digunakan tetapi menggunakan ketul-ketul perak (nilai berdasarkan berat). Emas juga digunakan (nilainya 15 kali ganda dari perak). Sistem bank telah wujud dalam tamadun Mesopotamia dan urusannya dijalankan di rumah berhala. Kadar faedah/bunga dikenakan sebanyak 20%. Mesopotamia juga mengenakan cukai ke atas hasil ekonomi dan pedagang-pedagang. Cukai kerajaan dibayar di rumah berhala dan cukai boleh dibayar dalam bentuk barang dan ia disimpan di dalam stor yang disediakan berhampiran rumah berhala.

Tamadun Mesir

Perdagangan banyak dilakukan melalui laut kerana kedudukannya berhadapan dengan Laut Mediterranean. Lagipun, sejak dahulu kala lagi orang Mesir mahir menggunakan jalan air melalui Sungai Nil dan mahir dalam membuat kapal..Buat beberapa lama, orang Mesir hilir mudik di Sungai Nil dengan sampan-sampan (dibuat dari kayu dengan kain layar dan dayung; belayar dengan mendayung) hingga ke Laut Mediterranean. Memandangkan bumi Mesir yang tandus kecuali di Lembah Nil, perhubungan secara darat memang terhad. Pada zaman Kerajaan Purba/Lama, barang-barang diangkut cara darat melalui Sinai (tembaga dan kayu dan dari Nubia dibawa gading, emas, gam wangi dan bulu kasyawari. Pada zaman empayar, kapal-kapal digunakan. Dari selatan dibawa masuk gading, kayu arang, emas, setanggi, celak, baboon, anjing, kera, kulit binatang dan orang asli. Pelabuhan Iskandariah adalah di antara pelabuhan perdagangan utama di Mesir. Mesir memang terkenal dengan limbungan kapalnya. Kemudahan-kemudahan kapal disediakan. Bazar-bazar juga muncul bagi memenuhi keperluan perdagangan. Ketika Mesir diperintah oleh raja-raja Ptolemy, bank-bank telah dimiliknegarakan. Tekstil dan minyak dimonopoli oleh golongan diraja. Semua tanah tanaman jagung dikehendaki membayar cukai kepada raja.. Pada zaman itu, apa sahaja yang boleh dikenakan cukai telah dikenakan cukai seperti cukai mati, cukai jualan hamba abdi, cukai lembu, cukai pengundian, cukai eksport dan import di pelabuhan.

Tamadun India

Sistem pengangkutan pada peringkat awal ialah dengan menggunakan unta, gajah, kuda, keldai iaitu secara kafilah menggunakan jalan darat. Apabila perdagangan berkembang, jalan laut yang menggunakan kapal digunakan. Perdagangan dijalankan dengan Mesopotamia. India terkenal dengan sistem timbangannya yang seragam sejak zaman tamadun awal lagi. Dari segi cukai, pada zaman Asoka dari Dinasti Maurya, Asoka telah memperkenalkan cukai tanah dan cukai ke atas hasil seperti cukai pengeluaran pertanian, cukai pengeluaran barang-barang dagangan, cukai jalan, dan cukai pinjaman. Cukai-cuckai itu ditetapkan dengan kadar tertentu. Misalnya, cukai pengeluaran ditetapkan 1/6 daripada jumlah pengeluaran dan mungkin akan berubah kadarnya. Hasil cukai itu digunakan untuk pembinan sistem pengairan, jalan raya, bangunan-bangunan, tempat-tempat adat di samping sebagai sumber kepada raja.

Tamadun China.

Alat pengangkutan yang digunakan di negara China bagi mengangkut barang-barang ialah kuda dan gajah. China dapat menjalankan perdagangan dengan negara-negara sebelah barat melalui jalan darat yang merentangi Asia Tengah (jalan sutera). Perdagangan melalui jalan laut di selatan dilakukan apabila jalan darat didapati tidak selamat dan China banyak menggunakan jalan laut semasa berdagang dengan Alam Melayu. China juga mengenakan cukai dalam perdagangannya iaitu ketika di bawah pemerintahan Shih Huang Ti. Liu Pang, pengasas Dinasti Han pula telah mengurangkan cuckai-cukai ke atas hasil pertanian dalam usaha menggalakkan perkembangan pertanian. Semasa China diperintah oleh Han Wu Ti dari Dinasti Han, beliau telah mewujudkan kembali sistem monopoli kerajaan atau sistem lesen ke atas pembuatan dan penjualan barang-barang tertentu yang pernah dipraktikkan pada zaman Dinasti Chin. Pada tahun119SM Wu Ti memperkenalkan kembali monopoli kerajaan ke atas garam dan besi yang merupakan kegunaan utama. Beliau kemudian menambah monopoli atau sistem lesen ke atas minuman keras. Maharaja Dinasti Han turut membina jalan raya untuk memajukan bidang ekonomi China. Dari segi penggunan mata wang, pada peringkat awal, china dmenggunakan wang kulit siput. Ekonomi wang yang diperkenalkan pada zaman Dinasti Chou itu telah meningkatkan lagi perdagangan dan kegiatan perindustrian China. Maharaja Shih Huang Ti dari Dinasti Chin pula telah memperkenalkan mata wang dari tembaga. Pada zaman Dinati Han, mata wang yang digunakan ialah wang emas dan perak..

Tamadun Greek

Athens mengenakan cukai import dan eksport yang rendah.. Sebahagian besar perdagangan Athens dilakukan melalui jalan laut kerana jalan-jalan darat ketika itu amat mundur.

Tamadun Rom

Rom terkenal dengan sistem jalan rayanya yang baik dan ini membolehkan perdagangan berjalan lancar. Di setiap daerah, maharaja membaiki dan membina rangkaian jalan raya yang diturap. Pada zaman Augustus iaitu zaman Rom berada dalam keadaan aman, perdagangan berjalan dengan baik. Perdagangan berlaku antara Laut Hitam dengan Sepanyol. Bandar-bandarnya berbentuk kosmopolitan. Bandar-bandar di Rom menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari Syria, Greek, Sepanyol dan Afrika. Laut Mediterranean menjadi lebuh raya penting menghubungkan kawasan tengah Empayar Rom. Pelabuhan-pelabuhan Rom menyediakan limbungan kapal dan kemudahan pelabuhan yang baik untuk kapal-kapal yang berlabuh. Rom telah mengenakan cukai ke atas kawasan-kawaan yang ditawan.

Tamadun Arab

Di Semenanjung Tanah Arab , bazar-bazar tempat menjalankan aktiviti ekonomi telah muncul. Antara yang terkenal di Hijaz ialah Zul Majaz, Ukaz dan al- Majannah. Begitu juga dengan kemudahan-kemudahan pelabuhan di Yaman (pelabuhan Adanah dan Aden), Teluk Parsi (pelabuhan Ubullah dan Sirah) dan Laut Merah(pelabuhan Syuaibah). Orang-orang Arab menggunakan jalan laut untuk berdagang ke India, China dan Asia Tenggara. Di Semenanjung Arab sendiri mereka menggunakan jalan darat cara kafilah (menurut al-Tabari, besarnya satu-satu kafilah itu ialah antara 500 hingga 1,000 ekor unta) kerana muka buminya yang berpadang pasir dan untuk keselamatan. Kafilah-kafilah ini keluar dengan kelengkapan, persediaan dan kewaspadaan yang besar didahului dengan pengintip-pengintip yang lebih dahulu menyelidik keadan-keadaan di jalan, disertai oleh petunjuk-petunjuk jalan dan pengawal-pengawalnya yang menjaga keamanan kafilah-kafilah. Semasa Mekah di bawah pimpinan Qusai bin Kilab, cukai yang dikenali sebagai Rafadah telah dikenakan ke atas orang-orang yang berkemampuan yang datang menunaikan haji. Kutipan cukai itu digunakan untuk memberi makanan kepada orang-orang miskin yang datang menunaikan haji atau lain-lain upacara agama di Kaabah. Satu lagi bentuk cukai yang dikenakan ke atas sesatu puak atau orang perseorangan yang inginkan jaminan keselamatan dipanggil Amwal Muhajjarah. Bayaran itu dikenakan semasa memasuki Mekah untuk mengunjungi Kaabah. Bentuk cukai yang dipanggil Harim pula dikenakan kepada orang asing yang mengerjakan haji. Cukai ini bukanlah dalam bentuk wang tapi mereka dikehendaki memberi beberapa helai pakaian/jubah atau binatang korban. Selain dari cara tersebut, orang Arab juga memperolehi hasil cukai dengan mengenakan bayaran ke atas pedagang-pedagang yang melalui kawasan mereka. Ini banyak dilakukan oleh orang-orang Mekah dan Yamamah kerana tempat tersebut terletak di tengah-tengah jalan perdagangan antara Yaman, Syam dan Hirah.Orang-orang Arab juga mengamalkan riba dalam aspek pinjaman dan berjudi bagi mendapatkan wang cara mudah.

Tamadun Barat

Di kawasan Barat pula, selepas berakhirnya zaman gelap iaitu menjelang pertengahan kurun ke-15,raja memantapkan kedudukannya dengan mengenakan cukai. Apabila ekonomi berkembang, pelbagai jenis cukai dikenakan. Sebelum zaman gerakan Reformation (1517 hingga ke-pertengahan kedua abad ke-16) telah wujud institusi kewangan. Semasa golongan gereja begitu berkuasa di Eropah, undang-undang gereja telah menetapkan larangan amalan meminjam wang berdasarkan faedah. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan golongan pedagang . Mereka berasa iri hati terhadap gereja yang memiliki harta dan tanah yang banyak. Mereka bersedia menyokng sebarang gerakan yang dapat mengurangkan kuasa dan kekayaan gereja.Golongan reformis telah bangkit memperjuangkan tuntutan golongan pedagang bagi membenarkan semula amalan riba itu. Perjuangan itu berjaya dan pedagang-pedagang dapat menjalankan perdagangan mereka dengan luas hingga ke tempat-tempat baru (dengan menaja peneroka). Penggunaan wang dalam urusan perdagangan telah memesatkan lagi ekonomi Eropah. Institusi bank telah berkembang pesat di Itali . Bank yang terbesar dikuasai oleh keluarga Medici di Florence. Bentuk pinjaman bank adalah serupa pajak gadai (contohnya, raja meminjam dengan cagaran mahkota permata). Saudagar di bahagian utara Itali yang kaya telah bangun menentang larangan gereja terhadap riba bank.Venice dan Genoa mempunyai bank mereka sendiri yang kemudian membiayai pelayaran-pelayaran penjelajahan. Di Lombardy, England urusan bank antara bangsa telahpun berkembang secara besar-besaran menjelang kurun ke-14. Pada kurun ke-14 dan 15 pusat perdagangan Eropah telah beralih ke utara apabila orang Turki memutuskan sebahagian perdagangan di Venice. Contohnya, di Belanda telah muncul keluarga Fuggers pada kurun ke-16. Mereka paling terkenal dengan perniagaan bank yang merupakan pengasas kepada Bank Rothschilds. Pada tahun 1609 Belanda telah menjadi tumpuan para pedagang. Pada tahun 1694 England mengorak langkah menubuhkan lebih banyak bank.

Tamadun Melayu

Di Alam Melayu , pelabuhan-pelabuhannya dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas seperti tempat penginapan, bekalan air, membuat dan membaiki kapal,gudang dan kawasan berniaga. Perdagangan dengan China menggunakan jalan laut kerana jalan darat tidak selamat. Sememangnya perdagangan di alam Melayu ini banyak bergantung dengan jalan perhubungan laut. Bukti-bukti menunjukkan bahawa orang-orang di rantau ini mahir dalam pelayaran dan membuat kapal.Dari segi sistem kewangan, Kerajaan Srivijaya, Majapahit dan Melaka umpamanya telah mengenakan cukai ke atas pedagang yang melalui Selat Melaka dan Selat Sunda dan cukai perniagaan. Pada peringkat awal perdagangan, sistem barter digunakan tetapi kemudian kulit siput geweng dijadikan mata wang. Nilainya bergantung kepada saiz dan jenis siputnya. Selepas itu bahan-bahan logam seperti bijih timah, emas dan perak dalam bentuk ketulan digunakan. Mata wang emas diperkenalkan oleh pedagang-pedagang China, India dan Arab di Melaka pada abad ke-16. Wang Syiling digunakan selepas kedatangan orang-orang asing.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.